Kontinjen paralimpik Malaysia menambah satu lagi pungutan pingat pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo menerusi atlet Boccia Para negara, Chew Wei Lun.
Wei Lun terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas 2-4 di tangan wakil Great Britain, David Smith di final acara individu BC1, hari ini.
Bagaimanapun, pencapaian Wei Lun sudah cukup membanggakan selepas dia hanya meletak sasaran untuk mara ke suku akhir sebelum temasya Tokyo bermula.
Kejayaan Wei Lun itu menjadi pingat ketiga yang diraih kontinjen negara pada temasya kali ini selepas dua atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin dan Jong Yee Khie menyumbang emas dan perak.
Terdahulu, Wei Lun yang juga pemain ke-11 dunia dan pemain lelaki kelima terbaik Asia mara ke final selepas menewaskan lawan dari Portugal, Andre Ramos dengan keputusan 9-5 di separuh akhir.
Kredit Foto: kontinjenmalaysia.my
“Ikuti Telegram kami untuk mendapatkan berita terkini”