Syarikat Jepun lancar bunker mini kalis serangan nuklear






Sebuah syarikat berpangkalan di Jepun melancarkan sebuah bunker mini yang boleh diletakkan di dalam rumah sebagai perlindungan daripada bencana alam, serangan peluru berpandu dan serangan nuklear.

Oddity Central melaporkan, syarikat WNIshelter yang juga terkenal dengan penghasilan bunker itu, mereka alat pertahanan tersebut dengan teknologi terkini yang mempunyai sistem pengudaraan khas tersendiri, selain boleh memuatkan hingga tujuh orang dalam satu masa.

Rekacipta khas dengan saiz yang dinamik juga membolehkan bunker berkenaan di pasang hingga dalam bilik atau rumah kediaman yang kecil seperti jenis pangsapuri.

Syarikat tersebut memaklumkan bunker ciptaan mereka mampu bertahan daripada bencana alam seperti gempa bumi, banjir dan serangan nuklear, hasil daripada teknologi yang mampu menahan gegaran kuat, ledakan bom serta pertahanan daripada sebarang serangan radiasi, senjata biologi dan kimia.

“Situasi semasa di Ukraine dan kekerapan pelancaran peluru berpandu di Korea Utara menjadikan waktu ini sebagai masa paling sesuai untuk mempromosikan tempat perlindungan seperti ini.

“Dapatkan tempat perlindungan nuklear dari WNIshelter sebagai persiapan waktu kecemasan,” demikian menurut kenyataan di laman web rasmi syarikat.