Seorang kanak-kanak yang petah berbicara ketika melaporkan penemuan ular sawa yang ditemui dalam longkang berjaya menarik perhatian umum sehingga digelar sebagai wartawan cilik.

Muhammad Haziq Mohd Asyraf, 12, yang berasal dari Kampung Penghulu Tua, Bukit Selambau, Sungai Petani itu berkata, beliau tidak menyangka cubaanya pertama kali memuat naik video tersebut menjadikannya dikenali ramai, terutama di laman media sosial.

Menurut kanak-kanak itu, aktiviti kegemaran beliau bagi mengisi masa lapang adalah menjual hasil masakannya dan sering berkongsikan video masakan yang dihasilkannya.

“Selepas waktu sekolah, saya bantu ayah dan ibu jual sayur di pasar tetapi saya lebih suka memasak sehingga ramai rakan-rakan dan cikgu memanggil saya dengan nama Cef Haziq.

“Antara masakan saya ialah kek marble, garlic bun, siakap tiga rasa, donut dan lain-lain.

“Sebelum ini saya selalu muat naik video memasak pelbagai jenis masakan selain berkongsi resepi, saya juga mengajar cara-cara memasak melalui video yang dirakam.

“Saya pernah dapat tempahan buat roti dan burger Malaysia dari kakitangan klinik dan hospital,”katanya dalam laporan Sinar.

Anak sulung dari dua beradik yang mengidap penyakit talasemia sejak lahir itu pernah mengimpikan memiliki sebuah kedai bakeri suatu hari nanti.