Warga emas dilapor hilang empat hari ditemui selamat



Seorang warga emas, A. Sivapaki, 73, yang dilaporkan hilang sejak empat hari lalu, berjaya ditemui dengan keadaan selamat di sebuah kawasan semak di Eco Park Rantau pagi tadi.

Ketua Zon Seremban, Penguasa Kanan Bomba II, Khir Amir Ahmad berkata, pihaknya dimaklumkan berkenaan penemuan tersebut kira-kira pukul 11.40 pagi, lapor Kosmo.

“Mangsa dijumpai di kawasan Eco Park Rantau iaitu sejauh empat kilometer dari ladang sawit di Kampung Sega Tengah, Rantau iaitu lokasi wanita itu dilaporkan hilang.

“Dia berada dalam keadaan lemah akibat kekurangan air. Kami membawanya ke pos kawalan operasi dengan menaiki kereta pacuan empat roda dan dia telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan dan dihantar ke

Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kehilangan wanita tersebut ketika mencari lembu di kawasan ladang sawit di Kampung Sega Tengah, Kuala Sawah, Rantau sejak 30 Januari lalu.

Seramai 85 anggota pelbagai jabatan dan agensi penyelamat terlibat dalam operasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita tersebut.