Wanita kaya Australia derma semua harta untuk kebajikan


Pasangan terkaya di Australia mahu mendermakan kekayaan miliknya berjumlah £9.2 bilion (RM50.8 bilion) bagi melakukan amal kebajikan.

Menurut laporan Daily Star, Melanie Perkins dan suaminya, Cliff Obrecht membuat keputusan tersebut menerusi skim utama yang dilaksanakan bagi menghapuskan kemiskinan tegar.

Melanie merupakan pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Canva, yang juga merupakan sebuah platform reka grafik terkenal yang turut dimiliki oleh Obrecht melalui pegangan saham 30 peratus dalam syarikat berkenaan.

Dalam laporan tersebut, Melanie telah mendaftar dalam kempen The Giving Pledge yang juga diasaskan oleh Bill Gates bagi tujuan sumbangan untuk kebajikan.

“Kami percaya terdapat wang yang mencukupi serta niat baik di dunia ini untuk menyelesaikan kebanyakan masalah dunia.

“Kami berfikir bahawa ini bukan sekadar peluang besar, namun satu tanggungjawab penting. Justeru itu, kami ingin menghabiskan seumur hidup untuk melaksanakan usaha itu.

“Siapa memerlukan kesemua wang itu? Secara peribadi?” kata Perkins dalam surat yang ditulisnya.

Dalam masa sama, Obrecht berkata, mereka komited untuk mendermakan kesemua wang yang dimiliki bagi menjadikan dunia ini lebih baik.

“Kami menjalani kehidupan yang agak sederhana dan tidak nampak keperluan untuk mengumpul kekayaan semata-mata,” katanya.