Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terharu dengan semangat Nurshazrina Suryanto, 15, yang menghidap kanser tulang tahap empat kerana bersungguh-sungguh mahu mengiring beliau ke kereta usai sesi ziarahnya di kediaman remaja itu, hari ini.

Beliau berkata, Nursyazrina sebelum ini adalah remaja yang aktif bersukan dan pernah menyuarakan kepada bapanya impian untuk bertemu dengan Ismail Sabri.

Katanya, bapa kepada remaja itu kemudiannya menyampaikan hasrat tersebut kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri itu.

“Alhamdulillah, hari ini saya dapat merealisasikan impian adik Syazrina dengan membuat lawatan mengejut ke rumahnya. Terkejut dan teruja dia melihat kehadiran saya.

“Sebelum pulang, adik bersungguh hendak bangkit dan berjalan bersama saya. Saya sememangnya bimbang akan keadaannya namun dia tetap mahu menghantar saya ke kereta. Begitu kuat semangat adik.

“Semoga Allah SWT memberi kesembuhan kepada adik Nursyazrina agar dia bisa mencapai cita-citanya,” katanya di hantaran Facebook hari ini.

Dalam video yang dimuat naik, dilihat Nurshazrina bersemangat berjalan menggunakan tongkat mengiringi Perdana Menteri ke kenderaannya.