Selamat jalan termometer

Kerajaan memutuskan untuk memansuhkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu dan buku rekod daftar masuk di semua premis bermula Jumaat, 11 Februari ini.

Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan langkah tersebut dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Dengan pemansuhan ini, pihak pemilik premis tidak lagi diwajibkan untuk menyediakan alat pengimbas suhu dan buku rekod ‘check-in’ di pintu masuk premis masing-masing.
“Namun check in menggunakan aplikasi MySejahtera masih diwajibkan seperti biasa,” katanya ketika sidang media khas sempena mesyuarat ke-12 menteri kuartet Covid-19 di Kementerian Pertahanan pada Selasa.
Bagaimanapun, kerajaan mengalu-alukan sekiranya pemilik premis ingin meneruskan pelaksanaan kedua SOP tersebut.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, pemansuhan kedua SOP itu adalah langkah ke hadapan yang dilakukan kerajaan untuk membawa negara bergerak ke hadapan dalam usaha mejangani Covid-19.
Katanya, negara kini akan memberikan tumpuan kepada tujuh tonggak yang telah digariskan di bawah pendekatan beralih ke negara ke fasa peralihan ke endemik.