Premier ganti Ketua Menteri di Sarawak

Gelaran jawatan bagi Ketua Menteri Sarawak kini telah ditukar secara rasmi kepada Premier Sarawak bermula hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, berkata selaras dengan pertukaran nama gelaran itu, Pejabat Ketua Menteri Sarawak juga kini dikenali sebagai Pejabat Premier Sarawak.

“Sementara itu, jawatan Timbalan Ketua Menteri dipinda kepada Timbalan Premier, manakala Menteri Muda pula dikenali sebagai Timbalan Menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 15 Februari lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang mengandungi klausa untuk menukar gelaran jawatan ‘Ketua Menteri’ kepada

‘Premier’ dengan majoriti lebih dua pertiga ahli dewan menyokongnya.

Pindaan itu juga membabitkan pertukaran gelaran ‘Menteri Muda’ kepada ‘Timbalan Menteri’.

Dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, rang undang-undang itu diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga apabila 67 ahli dewan menyokongnya dengan enam menentang.

Abdul Karim berkata, pindaan itu seiring pindaan Perlembagaan Persekutuan yang berkuat kuasa sebelum ini.

Semasa menjelaskan penggunaan Premier bagi menggantikan Ketua Menteri di bawah Perkara 6(3) Perlembagaan Sarawak, beliau berkata, ia sama seperti yang diamalkan oleh negara-negara Komanwel lain.

“Ketua Persekutuan digelar sebagai Perdana Menteri dan Ketua Wilayah membentuk Persekutuan digelar Premier manakala subwilayah atau negeri lain diketuai oleh Ketua Menteri,” katanya.