PM kagum bakat kewartawanan Muhammad Haziq

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob teruja bertemu Muhammad Haziq Mohd Asyraf, 12, kanak-kanak petah berbicara seperti wartawan yang tular di media sosial baru-baru ini.
Beliau berkata, bakat yang ada pada Muhammad Haziq sangat hebat, berkeyakinan dan mempunyai karisma ketika bertutur.
“Saya melihat masa depan anak-anak kecil kita sebagai aset penting bagi kemajuan negara. Mereka pemimpin masa hadapan.
“Saya begitu teruja dengan bakat dan kesungguhan kanak-kanak 12 tahun, Haziq Asyraf yang sangat rajin dan petah berbicara. Bakatnya hebat, berkeyakinan, dan berkarisma,” katanya dalam hantaran Facebook.
Dalam pertemuan dengan kanak-kanak terbabit baru-baru ini, Ismail Sabri tertarik dengan perkongsian Muhammad Haziq yang memberitahu gemar membuat kuih donut, dan menjualnya di sekitar kawasan rumah.
Kanak-kanak cilik itu juga memperincikan cara dia membuat donut dimulakan dengan menguli doh, menggoreng dan meletakkan gula, yang dilakukannya sendiri.
Muhammad Haziq dalam bersemangat memberitahu Perdana Menteri cita-citanya apabila dewasa mahu membuka kedai roti dan menjadi cef terkenal.
“Semoga cita-cita Haziq untuk menjadi chef terkenal dengan kesungguhannya yang bermula sejak di usia muda akan menjadi inspirasi kepada anak-anak lain diluar sana.
“Keluarga Malaysia ingin melahirkan lebih ramai bakat cilik yang bukan sahaja bijak akademik tetapi juga kreatif serta mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang tinggi ,” kata Ismail Sabri.
Sebelum ini, Muhammad Haziq yang juga pesakit talasemia berhasrat diberi kesempatan menemuramah pemimpin nombor satu negara itu.
Aksi spontan Muhammad Haziq seperti seorang wartawan melaporkan penemuan ular sawa di kawasan rumahnya di Bukit Selambau telah mencuri perhatian rakyat Malaysia.