Pfizer tetap pilihan utama untuk kanak-kanak – Khairy

Vaksin jenis Pfizer tetap menjadi pilihan untuk kumpulan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids), kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Menurutnya, jika kanak-kanak tidak mempunyai sejarah alahan maka vaksin berkenaan menjadi pilihan, namun vaksin Sinovac kini tersedia sebagai pilihan untuk kumpulan berkenaan.
“Mengikut nasihat Kumpulan Kerja Teknikal Covid-19 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) , Pfizer akan tetap menjadi vaksin pilihan untuk PICKids jika anak anda tidak mempunyai sejarah alahan.
“Bagaimanapun Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (CITF-C) akan menyediakan vaksin Sinovac di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tertentu untuk pilihan ibu bapa,” katanya dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.
Beliau merujuk kenyataan media Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, semalam mengenai kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin Sinovac kepada golongan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.
Kelulusan itu dibuat dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) yang telah bersidang semalam.