
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menyelamatkan seekor tapir jantan seberat 210 kilogram di Kampung Seri Kendong, Rembau, Negeri Sembilan.
Dalam satu kenyataan jabatan berkenaan memaklumkan, operasi menyelamat tapir itu dijalankan pada 10 Februari lalu.
Menurut Perhilitan operasi itu dilakukan susulan pemantauan di lokasi terlibat sejak menerima maklumat kehadiran tapir tersebut pada 4 Februari lalu.
“Tapir tersebut berada dalam keadaan sihat sepanjang operasi menyelamat dijalankan dan ianya telah selamat dilepaskan ke habitat yang sesuai.
“Sehubungan itu, Jabatan Perhilitan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sepanjang operasi ini dijalankan,” menurut kenyataan itu.