Pantai Floria Putrajaya dibuka percuma hingga 15 Mac


Bagi pengunjung yang mahu menikmati pemandangan pantai dan berhasrat untuk membuat aktiviti rekreasi air boleh ke Pantai Floria dan Sisiran Floria, antara tarikan terbaharu di Putrajaya.

Perkongsian di media sosial memaparkan Pantai Floria boleh menjadi ‘checklist’ terbaharu warga kota yang mahu bersantai bersama keluarga, tanpa perlu memandu terlalu lama.

Pantai Floria dan Sisiran Floria merupakan pantai buatan sepanjang 100 meter di kawasan Anjung Floria, Presint 4 di Putrajaya.

Kawasan itu yang beroperasi dari jam 9 pagi sehingga 6.30 petang, dibuka secara rasmi pada 1 Mac lalu untuk pengunjung dan pelawat ke kawasan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan ini.

Menurut Naib Presiden Kanan Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud, lebih mengujakan sempena Ulang Tahun ke-26 Perbadanan Putrajaya, tiada bayaran dikenakan kepada pengunjung kawasan itu bermula 1 hingga 15 Mac ini.

Katanya antara komponen utama tarikan baharu itu ialah pantai buatan tersebut dilengkapi kawasan lapang, air pancuran dan tempat duduk bertingkat yang selesa untuk pengunjung.

“Di sepanjang sisiran tasik Anjung Floria terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilaksanakan antaranya memancing, rekreasi air seperti berkayak, bot kawalan jauh dan tapak berkelah,” katanya baru-baru ini.

Fadlun berkata, Pantai Floria dan Sisiran Floria turut terletak berhampiran kemudahan permulaan Pit Stop laluan basikal di Putrajaya.

Mengulas lanjut, katanya, kawasan rekreasi itu merupakan lokasi mudah diakses dilengkapi pelbagai fasiliti antaranya cyclist kafe, surau, tandas awam, tong sampah serta kawasan tempat letak kereta yang luas.

“Kawasan ini juga popular berlatarbelakangkan panorama tasik Putrajaya dan binaan ikonik seperti Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Jambatan Seri Saujana yang tentunya menjadi lokasi tumpuan pengunjung dalam dan luar Putrajaya untuk beriadah dan bersantai,” tambahnya..