MPN cadang buka sempadan negara bermula 1 Mac




Majlis Pemulihan Negara (MPN) mencadangkan kerajaan membuka semula sepenuhnya sempadan negara seawal 1 Mac depan, tanpa perlu mengenakan kuarantin wajib kepada semua pelawat.

Bagaimanapun, Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ujian Covid-19 sebelum berlepas dan sejuruh ketibaan perlu dilakukan di semua pintu masuk mengikut syor Kementerian Kesihatan (KKM).

Pembukaan sempadan negara katanya, perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa dan maklumat terperinci, termasuk syarat-syarat tertentu, serta prosedur operasi standard (SOP) yang hendak ditetapkan.

“Sama ada terdapat kuarantin atau tidak ada kuarantin dan sebagainya, itu akan diumumkan dalam masa yang terdekat oleh KKM,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kedua 2022 MPN, hari ini.

Menjawab soalan beliau berkata sempadan itu dibuka kepada semua negara, kerana Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah memaklumkan bahawa varian Omicron Covid-19 sudah menular di seluruh dunia.

“Jadi tidak ada memilih mana-mana negara. Tetapi ada perkara-perkara yang akan diumumkan nanti tentang peraturan… mungkin kena buat PCR test sebelum masuk… mungkin tak perlu kuarantin. Maklumat lengkap akan diumumkan KKM dalam masa terdekat.

“Daripada taklimat yang diberikan Menteri Kesihatan tadi nampak sistem kesihatan awam kita mampu untuk menguruskan isu ini. Kita dah ada banyak pengalaman. Baik dari segi katil hospital, ICU, doktor dan sebagainya.

“Semuanya ada. Dan sampai sekarang ini pun walaupun kes meningkat, kapasiti sistem kesihatan dapat menampung bilangan (pesakit) yang agak meningkat dan bertambah,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata pembukaan sempadan dapat mempercepatkan lagi proses pemulihan ekonomi negara apabila pelancong dan pelabur boleh masuk dengan mudah.

Muhyiddin berkata MPN juga mencadangkan supaya pelarasan bagi semua bantuan kewangan oleh pelbagai pihak kepada perusahaan mikro kecil dan sederhana dapat dilaksanakan secara lebih sistematik.

“Ini bagi meningkatkan penggunaan sumber yang lebih bersasar dan juga berlandaskan keperluan supaya tiada pertindihan berlaku dan lebih ramai pengusaha yang betul-betul terjejas dapat terus menerima bantuan,” katanya.