Malaysia sedia ke Fasa Peralihan kepada Endemik






Malaysia telah bersedia beralih ke Fasa Peralihan Ke Endemik, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, di peringkat mesyuarat Menteri Kuartet, perancangan berkaitan Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ telah selesai.

“Namun keputusan untuk menentukan bila fasa ini akan dilaksanakan, bergantung kepada keputusan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 (JKKPP) dipengerusikan Perdana Menteri serta melibatkan ahli-ahli pembangkang serta pakar kesihatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, mesyuarat ke-12 Menteri Kuartet Covid-19 berlangsung hari ini bagi membincang fasa seterusnya selepas semua negeri berada dalam status Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 3 Januari lalu.

Mengulas Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’, Hishammuddin menjelaskan, ia pendekatan menyeluruh dalam menuju hidup bersama Covid-19.

“Terdapat tujuh tonggak di bawah pendekatan ini dan menerusi penelitian Kuartet, tujuh tonggak ini telah bersedia,” katanya.