Lebih 600,000 kanak-kanak telah divaksin

Sebanyak 661,752 individu atau 18.6 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima dos pertama melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data portal COVIDNOW, sejumlah 14,274,843 atau 60.7 peratus populasi dewasa di dalam negara telah menerima suntikan dos penggalak.

Sementara itu seramai 22,946,057 atau 97.5 peratus populasi dewasa telah lengkap vaksinasi dan 23,223,993 atau 98.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Pada masa sama, bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,799,485 individu atau 90 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi manakala 2,889,543 atau 92.9 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Semalam, sebanyak 143,749 dos suntikan vaksin telah diberikan melibatkan 47,876 suntikan dos pertama, 493 suntikan dos lengkap dan 95,380 suntikan dos penggalak.

Ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 6,589,636.