
Semua klien yang sedang menjalani program pemulihan di fasiliti Agensi AntidadahKebangsaan (AADK) dilayan seperti pesakit yang perlu dirawat secara menyeluruh menerusi Model i-Pulih AADK.
AADK menerusi kenyataan ini hari ini berkata pihaknya turut komited memperluaskan perkhidmatan rawatan dan pemulihan dual diagnosis melibatkan isu penyalahgunaan dadah dan kesihatan mental peringkat awal di semua fasiliti AADK, termasuk Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di seluruh negara.
“Sehubungan itu, keluarga tidak harus berasa malu dan menyembunyikan permasalahan dadah dalam kalangan keluarga, malah mereka perlu menjadikan bantuan rawatan danpemulihan dadah AADK sebagai salah satu kaedah untuk mengeratkan kasih sayang.
“Justeru, AADK menyeru agar semua pihak yang mempunyai masalah penagihan atau penyalahgunaan dadah dan substan untuk merujuk AADK dengan kadar segera,” katanya.
Menurut AADK, pihaknya sentiasa memberi peluang kepada semua pihak untuk menerima rawatan dan pemulihan supaya dapat kembali dan berfungsi dalam masyarakat.
“AADK juga menyeru supaya masyarakat tidak memandang serong terhadap individu yang sedang menjalani proses rawatan dan pemulihan AADK.
“Sekiranya anda atau orang yang dikenali terlibat dalam permasalahan dadah sila dapatkan bantuan khidmat nasihat daripada Pegawai Pemulihan AADK, hadir ke Pejabat AADK yang berhampiran atau hubungi Hotline AADK di talian 03-8911 2233 atau 019-626 2233,” katanya lagi.