Khairy: HAT bantu KKM pantau Covid-19

Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan segera melakukan ujian Covid-19 jika mempunyai sebarang gejala bagi melindungi diri dan masyarakat sekeliling.

Peringatan itu dibuat oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin susulan peningkatan jangkitan wabak berkenaan terutama kes tanpa gejala serius.

“Kini semakin ramai saudara dan kenalan kita yang telah dan sedang menjalani kuarantin kerana positif Covid-19 atau menjadi kontak rapat tanpa mempunyai gejala serius.

“Oleh itu kita semua perlu berwaspada dan segera melakukan ujian Covid-19 jika mempunyai sebarang gejala bagi melindungi diri dan orang sekeliling.

“Jika positif atau kontak rapat, luangkan sedikit masa setiap hari untuk menjawab borang Penilaian Kendiri iaitu Health Assessment Tool (HAT) di aplikasi MySejahtera anda dan hubungi hospital terdekat jika keadaan semakin

teruk,” katanya di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, melalui HAT, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh memantau keadaan semasa pesakit dan memberikan panduan tentang langkah seterusnya yang perlu diambil.

“Ayuh kita saling mengingatkan di antara satu sama lain untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan melaksanakan TRIIS demi keselamatan bersama,” katanya.