Kanak-kanak 5 tahun muncul sebagai penulis buku termuda

Bella-Jay Dark, seorang kanak-kanak lima tahun yang berasal dari Dorset, Britain menjadi penulis termuda selepas karyanya bertajuk The Lost Cat berjaya diterbitkan.
Tahun lepas, Abhijita Gupta merupakan kanak-kanak termuda yang berjaya menerbitkan buku pada usia tujuh tahun.
Karya Bella-Jay yang berjudul The Lost Cat itu berkisarkan tentang seekor kucing yang keluar mengembara dan mendapat pelbagai pengalaman serta pengajaran penting sepanjang perjalanannya.

Chelsie Syme, Ibu kepada kanak-kanak tersebut pada asalnya tidak menyangka hasrat Bella untuk menghasilkan sebuah buku adalah serius.
Sehinggalah sebuah syarikat penerbitan, Ginger Fyre Press bersetuju untuk menerbitkan buku tersebut, ianya mengejutkan kedua ibu dan bapa Bella.
”Kami sangat berbangga dengan Bella dan sejujurnya tidak percaya betapa hal ini sangat menakjubkan.
”Kami juga sangat berterima kasih atas sokongan dan pengiktirafan yang dia terima setakat ini dan dia sangat layak menerimanya.
”Saya benar-benar bangga dengannya, saya tidak sangka ia akan pergi sejauh ini jadi saya hanya berbangga dan mahu melihat dia mendapat pengiktirafan yang sepatutnya,” kata Chelsie memetik laporan Daily Mail.
Ketika ditanya, Bella memberitahu bahawa karya yang dihasilkannya merupakan buku terbaik yang pernah dimilikinya.
“Saya sangat bangga dengan diri saya dan setiap pengarang lain,” katanya seperti dilaporkan.
Sementara itu, bagi mendapatkan anugerah rasmi Guinness World Record sebagai pengarang termuda, Bella perlu menjual 1,000 naskhah buku itu.
Dia telah memenuhi dua kriteria lain – iaitu, buku itu diterbitkan oleh sebuah syarikat rasmi dan dia berusia di bawah tujuh tahun.