Kad Pokemon Charizard No. 4 dilelong AS$336,000







(COPY)

United Press International melaporkan kad permainan Pokemon edisi pertama yang dilelong dalam satu acara lelongan berjaya dijual pada harga AS$336,000 (RM1.4 juta) sekali gus  lebih tinggi daripada harga anggaran AS$200,000 (RM836,873).

Menurut firma lelongan Heritage Auctions, Kad Dagangan Set Asas Edisi Pertama Charizard No. 4 Pokemon itu merupakan kad pertama berbahasa Inggeris.

Ekoran itu, Charizard No. 4 tersebut merupakan kad yang paling dicari di kalangan pengumpul dari seluruh dunia.

Kad itu adalah satu daripada hanya 120 contoh yang menerima penarafan 10 mata daripada pemeriksa.

Heritage Auctions berkata, dengan harga bidaan tersebut, ia menjadikan item itu sebagai kad Pokemon paling mahal yang pernah dijual firma lelongan itu berbanding rekod sebelum ini iaitu pada harga AS$300,000 (RM1.3 juta).

Hujung Februari lalu, sekeping kad promosi Pokemon, Pikachu Illustrator Holo dari tahun 1998 dilelong pada harga AS$900,000 (RM3.8 juta) dalam satu acara lelongan anjuran Goldin.

Nilai itu adalah termahal yang pernah dibayar untuk sekeping kad Pokemon.