
Seorang penderma darah dari kumpulan darah jenis ganjil JK null phenotype atau kebiasaannya dipanggil darah jenis Jk3 tampil menderma darahnya bagi membantu merawat darah salah seorang pesakit di Lembah Klang.
Tindakan individu yang wajar dianggap adiwira itu dikongsikan di laman Facebook Derma Darah Kedah Perlis – DDKP, hari ini.
Kumpulan darah ganjil itu sangat sukar ditemui dan individu yang mempunyai darah jenis berkenaan hanya boleh menerima darah jenis sama sahaja jika memerlukan rawatan.
“Terima kasih kepada En Mahyudin, merupakan salah seorang penderma darah ganjil, JK null phenotype (atau selalunya dipanggil Jk3).
“Darah ini diperlukan untuk merawat darah salah seorang pesakit di Lembah Klang.
“Terima kasih kepada semua adiwira – adiwira kami! Bantuan anda telah menyelamatkan ribuan nyawa,” menurut laman yang diselia oleh Pusat Darah Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Alor Setar (JPTHAS) itu.
Media sebelum ini turut melaporkan seorang wanita yang mempunyai darah jenis Rhnull atau dipanggil The Golden Blood (darah emas) dikenalpasti di Malaysia.
Difahamkan setakat ini hanya ada 43 orang sahaja di seluruh muka bumi yang mempunyai kumpulan darah tersebut.
Berdasarkan maklumat yang dikongsikan menerusi Facebook Derma Darah Terengganu Kite, wanita berkenaan mendermakan ‘darah emas’ itu kepada Pusat Darah Negara, Kuala Lumpur bagi disejuk bekukan untuk disimpan.