
Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) dilanjutkan sehingga sempadan negara dibuka.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keputusan itu dipersetujui Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 Bil 2/2022 pada 8 Februari lalu.
Menurutnya, LITB telah dilaksanakan bermula 15 November 2021 sebagai projek perintis untuk tempoh tiga bulan.
“Projek ini menguji kesediaan ekosistem pelancongan negara, khususnya penggiat industri pelancongan serta pekerja di barisan hadapan untuk menerima kedatangan pelancong asing ke Malaysia secara berperingkat dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Nancy berkata, prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pengembara asing ke Malaysia melalui LITB telah diselaraskan mengikut ketetapan dan garis panduan terkini dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan telah diwartakan pada 16 Februari lalu.
Perubahan yang telah dikemaskini adalah seperti berikut:
i. Pelancong yang telah menerima dos penggalak dibenarkan keluar dari Pulau Langkawi pada hari kelima jika ujian RT-PCR pada hari keempat negatif ATAU RTK-Ag (Professional) pada hari kelima negatif.
ii. Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah boleh turut serta melancong bersama ibu bapa/penjaga masing masing yang telah divaksin tanpa perlu menunjukkan bukti vaksinasi; Kanak-kanak di bawah umur dua tahun tidak perlu membuat saringan Covid-19.
iii. Setiap pelancong asing diwajibkan untuk membeli polisi insurans bernilai USD50,000 (Covid-19 dan pengembaraan). Warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara dikecualikan daripada syarat ini.
iv. Penerbangan masuk melalui KLIA2 dibenarkan (bermula 22 Februari 2022).
Beliau berkata, SOP itu berkuatkuasa bermula 16 Februari 2022 dan akan menjadi penanda aras terhadap SOP pembukaan sempadan kelak.
Justeru, katanya diharap keputusan tersebut akan disambut baik pengunjung antarabangsa yang berhasrat untuk datang ke Malaysia melalui LITB pada masa ini.