Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyelamatkan seorang lelaki yang terjatuh ke dalam sebuah longkang besar setinggi tujuh meter di bawah Jambatan Saloma, Kuala Lumpur semalam.

Dalam satu kenyataan, Pusat Gerakan Bomba Kuala Lumpur memaklumkan mangsa adalah lelaki tempatan berumur 46 tahun mempunyai masalah penglihatan terbatas.

“Sebuah jentera dan 13 anggota dikerahkan selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.27 petang.

“Setibanya jentera bomba di lokasi pada jam 4.34 petang, terdapat seorang lelaki tempatan buta penglihatan terjatuh di dalam longkang besar pada ketinggian tujuh meter dan berada di tebing.

“Pada jam 5.06 petang anggota operasi berjaya menaikkan mangsa,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, mangsa yang mengalami kecederaan pada bahu, kaki dan tangan diserahkan kepada pasukan paramedik Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Katanya, operasi menyelamatkan mangsa tamat sepenuhnya pada jam 5.42 petang.