Bomba selamatkan kanak-kanak terperangkap luar tingkap

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang terperangkap di luar tingkap rumah di tingkat 3 Apartment Sutera Villa, Kuantan dalam kejadian pagi tadi, berjaya diselamatkan pasukan bomba.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, berkata pihak bomba menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 10.11 pagi tadi.
Menurutnya, susulan itu sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.
“Bomba menerima panggilan kecemasan yang melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun terperangkap di luar tingkap jendela rumah di tingkat 3 Apartment Sutera Villa, Kuantan.
“Anggota bomba diketuai oleh Penguasa Bomba Kanan II Mohd Rosli Abdullah bertindak menyelamatkan mangsa dengan menggunakan tangga dan juga harness,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi terbabit berjaya membawa turun kanak-kanak terbabit dalam keadaan selamat dan situasi dapat dikawal dengan baik.