Pengalaman dua tahun menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan sekumpulan pelajar universiti mengambil keputusan mahu ‘beraya awal’ tahun ini.

Video yang dimuat naik menerusi laman TikTok @Juliansheesh menarik perhatian ramai selepas dia dan rakan-rakan bersiap sedia lebih awal mengenakan ‘baju raya’ pergi ke kuliah.

“Pergi ke kelas pakai baju Melayu sebab takut raya nanti kena duduk rumah,” tulisnya dalam video itu.

Sementara, lagu Seloka Hari Raya dendangan Uji Rashid dan Hail Amir yang mengiringi video itu menambah lagi momen sambutan Aidilfitri.

Dalam video tersebut juga kelihatan kumpulan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor itu lengkap berpakaian tradisional baju melayu, sampin dan bersongkok.

Rata-rata netizen terhibur dengan idea lucu daripada mereka, dan berkira-kira untuk melakukannya juga bersama rakan-rakan yang lain.

“Jom kita raya sebelum puasa, nanti tidaklah menyesal sangat,” ujar seorang netizen.

“Jom kita pakai baju raya pergi kerja. Bawa makanan sekali. Rindunya nak beraya macam dulu,” kata Malisa.

Semakan Malaysiapost mendapati video itu telah mendapat sebanyak 1.2 juta tontonan pengguna TikTok dan lebih 183,000 tanda suka.