Bekas Miss Ukraine angkat senjata

Kisah kegigihan dan semangat juang kaum wanita dalam menghadapi perang bukan lagi perkara baharu, dan sering menjadi tajuk-tajuk utama di dada akhbar.
Terbaharu, bekas ratu cantik Ukraine, Anastasiia Lenna, 31, menjadi salah seorang daripada ratusan orang awam yang mengangkat senjata menentang operasi ketenteraan Rusia di Kiev.
Memetik laporan akhbar Daily Mail semalam, imej satelit semalam menunjukkan tentera Rusia kini sedang mengepung ibu kota Ukraine berkenaan.
Wanita itu pernah memenangi pertandingan ratu cantik kebangsaan Ukraine pada tahun 2015.
Imejnya lengkap berpakaian askar dengan senjata api menjadi perhatian netizen selepas beliau memuat naik gambar tersebut di laman instagram miliknya.
Bekas ratu cantik yang sedang bekerja sebagai pengurus perhubungan awam di Turki itu mempromosikan hashtag ‘berdiri bersama Ukraine’ dan ‘jangan ganggu Ukraine’.
Terdahulu, Lenna dilaporkan pernah memuat naik gambarnya bersama dengan senjata api dalam sebuah kawasan latihan ketenteraan.