
Kumpulan penguatkuasa yang mengawal sempadan China – Vietnam di daerah Longzhou menggunakan angsa sebagai senjata untuk mengesan dan menangkap pendatang asing tanpa izin sejak tahun lalu.
Oddity Central melaporkan, ia sebahagian daripada strategi China untuk mencegah penularan Covid-19 di peringkat sempadan antarabangsa.
China mengambil pendirian tegas mengenai masalah pendatang asing dengan rondaan dilakukan di kawasan sempadan dengan dibantu pusat-pusat kawalan.
Kerja-kerja rondaan sebelum ini agak sukar ekoran negara tersebut mempunyai sempadan yang panjang, manakala Longzhou sahaja mempunyai sempadan sejauh 184 kilometer yang memisahkan China dengan Vietnam.
Justeru, sejak Jun tahun lalu, kerajaan menggunakan angsa sebagai senjata yang mampu mengesan dan mengeluarkan bunyi bising terhadap orang yang asing daripada kawasannya, seterunya memudahkan anggota pengawal menjalankan operasi kawalan.
Menjelang September tahun lalu, pasukan angsa telah dikerah ke titik-titik kawalan di sepanjang sempadan Longzhou. Tidak lama kemudian, setiap pasukan kawalan sempadan akan disertai sekurang-kurangnya dua ekor angsa untuk meronda.
China News melaporkan, dua ekor angsa dan seekor anjing akan dibawa oleh dua pengawal sempadan untuk meronda di daerah itu yang mampu menangani aktiviti kemasukan pendatang asing meskipun di kawasan gunung tinggi, hutan tebal dan laluan rahsia.
“Angsa sangat sensitif. Ia akan mengeluarkan bunyi bising apabila terdapat gangguan dan berbunyi lebih kuat apabila melihat orang yang tidak dikenali,’’ kata seorang anggota pengawal sempadan yang ditempatkan di kampung Naguan, Li Fei kepada pemberita.