9 rakyat Malaysia di Ukraine selamat tiba di sempadan Poland

Konvoi yang memindahkan sembilan rakyat Malaysia bersama dua tanggungan mereka dan seorang warga Singapura dari Kyiv, selamat tiba di Korczowa-Krakovets, sempadan Ukraine dengan Poland.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.
Beliau berkata, konvoi terbabit diketuai oleh Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia di Ukraine, Fadhilah Daud.
“Konvoi berkenaan disambut dua pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Poland.
“Mereka sedang menuju ke Warsaw ketika ini dan dijangka pulang ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan 11 rakyat Malaysia yang berada di Ukraine, sudah meninggalkan Kyiv serta dalam perjalanan untuk keluar dari negara itu susulan konflik yang melanda.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak boleh mendedahkan lokasi semua individu terbabit atas faktor keselamatan.
“Kita ada 23 rakyat di Ukraine, sama ada bekerja di kedutaan, belajar dan sebagainya. Seramai 12 daripada mereka sudah meninggalkan Ukraine, dan bakinya sedang dalam perjalanan (untuk keluar dari negara itu).
“Saya tidak mahu sebut dari mana ke mana kerana kita tidak tahu apa berlaku di sana.
“Justeru, saya tidak mahu sebut dari mana ke mana demi keselamatan mereka,” katanya.