Seramai 289,912 atau 8.2 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini menerima dos pertama vaksin Covid-19 setakat semalam.

Jumlah itu termasuk 42,659 dos yang diberikan semalam.

Menerusi data portal COVIDNOW, 13,607,475 atau 57.8 peratus populasi dewasa di negara ini menerima dos penggalak Covid-19 dalam tempoh sama.

Sejumlah 22,940,521 individu atau 97.5 peratus daripada kumpulan itu melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 98.7 peratus atau 23,217,374 telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sebanyak 2,797,227 individu atau 89.9 peratus lengkap divaksin, manakala 2,878,738 atau 92.5 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, sebanyak 164,572 dos vaksin diberikan meliputi 45,251 dos pertama, 1,637 dos kedua dan 117,684 dos penggalak.

Angka itu sekali gus menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini adalah sebanyak 65,524,828 dos.