Kerajaan bersetuju membenarkan lima negeri iaitu Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah beralih ke Fasa Empat, Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa Isnin ini.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini bersetuju untuk peralihan Fasa PPN dari Fasa Tiga ke Fasa Empat bagi Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah berkuatkuasa 8 November ini.
“Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa Empat adalah sama dengan sebelum ini. Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my.” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan beberapa ketetapan lain yang diputuskan antaranya adalah mengenai program vaksinasi untuk anak kapal di Pelabuhan Klang.
“Anak-anak kapal di bawah pengurusan Lembaga Pelabuhan Klang dibenarkan untuk mengambil suntikan vaksin semasa persinggahan di Pelabuhan Klang tertakluk kepada kelulusan KKM, Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Urusan penerimaan suntikan vaksin wajar dilaksanakan di atas kapal (onboard) bagi mengelakkan pergerakan berskala besar anak-anak kapal ke klinik atau fasiliti perubatan.
“Lembaga Pelabuhan Klang telah diminta mengemukakan keperluan maklumat lanjut seperti penganjur, bilangan anak kapal yang terlibat dan lain-lain yang berkaitan bagi program vaksinasi untuk anak-anak kapal di pelabuhan berkenaan,” katanya.
“Ikuti Telegram kami untuk mendapatkan berita terkini”