Bekerja dari rumah merupakan salah satu cara yang digunakan di seluruh dunia dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.
Justeru, mesyuarat secara dalam talian sudah menjadi kelaziman dalam menempuh kehidupan berorganisasi hari ini.
Di sebalik pakaian formal yang perlu dikenakan ketika menghadiri mesyuarat dalam talian, pastinya kita biasa melihat pelbagai ragam pemakaian yang dikenakan ketika menghadiri sesi mesyuarat dalam talian.
Tidak ketinggalan, sejak setahun lebih yang lepas, kita sering melihat kaum lelaki yang mengenakan kain pelekat ketika menghadiri sesi berkenaan.
Namun, budaya penduduk Asia Tenggara ini telah diikuti oleh seorang ahli perniagaan terkenal, Kevin O’leary yang memuat naik sebuah klip video menerusi TikTok.
Menerusi video tersebut, dapat dilihat Kevin yang juga terkenal dalam siri TV Shark Tank ini sedang bercakap dalam satu mesyuarat dalam talian.
Walaupun nampak kemas bersut hitam di bahagian atas namun, dia memakai kain batik berwarna biru di bahagian bawah.
Perkongsian Kevin telah mendapat perhatian netizen terutamanya yang tinggal Asia Tenggara yang mana penggunaan kain batik seperti ini sangat popular di sana.
Menurut netizen, Kevin nampak santai dan selesa apabila memakai batik tersebut, meskipun kain batik sangat sinonim dengan orang perempuan manakala lelaki kebiasaannya memakai kain pelikat.
Para netizen turut berseloroh mengatakan kain batik mereka hilang diambil oleh Kevin. Malah, ada juga netizen yang tertanya-tanya di mana Kevin mendapatkan kain batik itu.
“Ikuti Telegram kami untuk mendapatkan berita terkini”