Malaysia menumbangkan Indonesia, 3-0 untuk bergelar juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, di Shah Alam, Selangor, hari ini.

Lebih manis kejayaan di bumi Malaysia berkenaan tercipta dengan menewaskan musuh tradisi yang hadir ke kejohanan itu sebagai juara bertahan.

Bagaimanapun kemenangan itu bukan mudah dilakar kerana Lee Zii Jia dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik berhempas pulas dan terpaksa bermain sehingga tiga set sebelum menang.

Dalam aksi di hadapan 800 penyokong di Pusat Kovensyen Setia City, Zii Jia menyumbang mata pertama negara dengan menewaskan Chico Aura, 21-14, 12-21 dan 10-21.

Chia dan Wooi Yik meneruskan kecemerlangan dengan mengutip mata kedua dalam aksi sengit yang memihak kepada pasangan beregu negara, Leo Rolly dan Daniel Marthin, 21-17, 13-21 dan 18-21 .

Pemain perseorangan kedua negara Ng Tze Yong mengesahkan kejuaraan Malaysia dengan aksi meyakinkan dan mudah menjinakkan lawannya, Ikhsan Rumbay, 21-14 dan 21-16