Kerajaan Malaysia menyatakan rasa dukacita dengan perkembangan yang berlaku di Ukraine ketika ini dan akan memberi keutamaan dalam memastikan keselamatan Keluarga Malaysia yang berada di negara berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Kiev kini sedang berusaha memberikan perlindungan dan menyediakan tempat selamat untuk rakyat Malaysia sebelum dapat dibawa pulang ke tanah air.

“Terdapat 23 warga Malaysia berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia, 12 orang telah pulang ke tanah air manakala 11 orang masih berada di sana dan proses evakuasi untuk mereka sedang dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau juga berharap penyelesaian terbaik dapat segera dicapai antara Ukraine dan Rusia.

“Malaysia berharap agar satu jalan penyelesaian damai yang terbaik di antara Ukraine dan Rusia dapat segera dicapai, seterusnya berjaya menyelesaikan konflik tersebut,” katanya.

Terdahulu Presiden Rusia Vladimir Putin mengumumkan operasi ketenteraan di Ukraine hari ini.

Sejurus pengumuman itu, letupan kedengaran di seluruh negara dan menteri luarnya memberi amaran ‘pencerobohan berskala penuh’ sedang dijalankan.

Berminggu-minggu diplomasi sengit dan pelaksanaan sekatan Barat ke atas Rusia gagal menghalang Putin, yang mengumpulkan antara 150,000 dan 200,000 tentera di sepanjang sempadan Ukraine.

Putin juga memberi amaran agar negara lain tidak campur tangan dalam konflik berkenaan dan akan berdepan tindak balas Rusia dengan segera dan membawa kepada akibat yang tidak pernah digambarkan sebelum ini.