John Deere perkenal traktor pandu sendiri




John Deere, syrikat peralatan pertanian terkemuka dunia tampil memperkenalkan traktor pandu sendiri pertama yang boleh dikawal dengan hanya menggunakan telefon pintar.

Traktor model 8R itu juga mampu menjalankan operasi selama 24 jam sehari, menurut pendedahan yang dibuat menerusi Pameran Elektronik Pengguna (CES) di Las Vegas.

Menurut Daily Mail, laporan yang dikeluarkan menyatakan bahawa sekumpulan petani di Amerika Syarikat (AS) sudah menguji traktor dibangunkan John Deere sejak 2019 itu sebagai alternatif mengurangkan tenaga pekerja.

Traktor 8R itu dilengkapi dengan enam pasang kamera dan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang membolehkannya menyemak kedudukan secara terperinci dan berhenti sekiranya mengesan haiwan atau objek di laluannya.

Menurut John Deere, kamera dan komputer untuk pembajakan secara automatik boleh dipasang pada traktor sedia ada itu hanya dalam masa sehari.

Tambah syarikat itu, pihaknya akan membekalkan sehingga 20 mesin pada tahun ini, dengan pelancaran dipertingkatkan pada tahun-tahun akan datang.

Namun, firma itu masih belum memutuskan sama ada traktor tersebut akan dijual terus atau ditawarkan sebagai langganan.

Walaupun John Deere masih belum mengumumkan harga rasmi model berkenaan, beberapa wakil firma berkenaan menjangkakan ia adalah kira-kira 10 peratus daripada kos peralatan atau hampir AS$50,000 (RM210,105) apabila dipasarkan.

Sementara itu, Kesatuan Kebangsaan Peladang United Kingdom (UK) menyambut baik perkembangan tersebut.

Naib Presidennya, Tom Bradshaw meramalkan suatu masa depan yang mana pengendali mampu mengawal kumpulan kenderaan robotik yang bekerja di palangan sebaik sahaja harga turun.