Industri Latihan Pemanduan (ILP) Kenderaan Motor di seluruh negara dibenarkan beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara janji temu mulai 9 September ini.
Namun bagi proses pengujian untuk mendapatkan lesen-lesen memandu berkaitan akan bermula pada 17 September 2021.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata tempoh itu diperuntukkan kepada Institusi Memandu (IM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk bersedia sepenuhnya bagi mengelak isu berbangkit yang memberi kesan negatif kepada calon.
Katanya, kebenaran yang telah mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu tertakluk kepada pematuhan terhadap lima perkara.
“Pertama, pematuhan sepenuhnya ke atas Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Berfasa yang berkuatkuasa.
“Kedua, pekerja, tenaga pengajar dan calon telah lengkap menerima vaksin dengan mengemukakan Sijil Digital Vaksinasi Covid-19 dan kad pengenalan sebagai pembuktian.
“Ketiga, syarikat hanya dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja berdasarkan peratusan pekerja yang telah lengkap menerima vaksin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, sekiranya kadar peratusan pekerja yang lengkap menerima vaksin adalah 40 peratus maka kapasiti pekerja yang dibenarkan beroperasi adalah sebanyak 60 peratus.
“Sebaliknya, jika 60 peratus lengkap menerima vaksin, 80 peratus pekerja dibenar beroperasi. Syarikat dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 100 peratus sekiranya 80 peratus pekerja lengkap menerima vaksin,” katanya.
Ka Siong berkata, bagi pematuhan keempat, kehadiran mana-mana kakitangan atau calon yang bergejala, sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ‘Person Under Surveillance’ (PUS) dan dalam Perintah Kuarantin tidak dibenarkan.
“Yang terakhir, mereka mematuhi protokol kesihatan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan pelaksanaan norma baharu seperti pemeriksaan suhu badan, mengimbas MySejahtera, mengamalkan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup separuh muka dan penyediaan ‘hand sanitizer’,” katanya.
Dalam perkembangan sama, kata beliau, pihaknya juga memahami dan prihatin dengan kesukaran yang terpaksa dihadapi oleh pengendali IM akibat pandemik Covid-19.
“Justeru, MOT memutuskan pemberian moratorium selama tiga bulan iaitu sehingga 30 November 2021 bagi keperluan pembaharuan permit IM bagi mana-mana yang tempoh sah laku permitnya telah tamat di antara bulan Januari hingga September 2021.
“Diharapkan dengan pengoperasian semula ILP ini dapat memberi kelegaan kepada pengusaha-pengusaha ILP atau IM, tenaga pengajar dan orang ramai yang memerlukan perkhidmatan berkaitan,” katanya.
“Ikuti Telegram kami untuk mendapatkan berita terkini”