Honda Malaysia telah melancarkan model Civic Generasi ke-11 dengan gaya dan reka bentuk baharu, hari ini.

Difahamkan sejak tempahan dibuat tahun lalu, sebanyak 1,200 unit tempahan diterima, dan Honda Malaysia menyasarkan jualan sebanyak 900 unit sebulan.

Untuk model baharu kali ini, Honda Malaysia menawarkan tiga varian dengan model asas Civic 1.5L E berharga RM125,635, Civic 1.5 V (RM138,043) dan model berspesifikasi tinggi Civic RS pada harga RM144,350.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo, pasukan R&D mereka telah memberikan segala usaha dan idea dalam reka bentuk bahagian luaran, dalaman dan pakej keseluruhan kereta sedan segmen C itu.

Katanya, Civic baharu itu adalah terjemahan unsur-unsur klasik disamping menitikberatkan nilai-nilai Honda yang berterusan.

“Konsep reka bentuk baharu ini memberikan Identiti Alaf Baharu untuk sebuah sedan yang dilengkapi dengan ciri-ciri dan teknologi terkini dan masih mengekalkan DNA model Civic dari segi reka bentuk, pengendalian dan prestasi berkuasa.

“Model baharu ini direka dengan sepenuh jiwa, diinspirasikan dari sebuah Legasi dan dibina untuk masa hadapan,” katanya.

Madoka berkata, Honda Malaysia juga buat pertama kalinya memperkenalkan varian RS untuk barisan model Civic dengan meningkatkan ciri-ciri sporty dan gaya berani untuk Civic.

Setiap varian model ini juga dilengkapi dengan pelbagai teknologi keselamatan Honda Sensing terkini seperti sistem bantuan pemandu, bantuan brek kecemasan, kawalan pelayaran adaptif, bantuan kekal lorong tengah, bantuan

lampu high beam, amaran pelanggaran bahagian hadapan dan pelbagai lagi.

Difahamkan, penghantaran kereta ini kepada pelanggan akan bermula minggu hadapan, dengan masa menunggu dijangka antara satu hingga dua bulan bergantung pada varian.