Kerana tidak mampu untuk membeli tiket penerbangan, seorang wanita tidak dapat balik ke kampung halamannya di Miri, Sarawak sejak enam tahun lepas.
Ibu kepada empat orang anak itu, Alyaa tampil menghubungi stesen radio Fly FM untuk berkongsi kisahnya ketika DJ dan pelawak terkenal, Douglas Lim dan Ili bersiaran dalam slot In The Morning Show.
Pada hari Selasa lepas, ketika dalam rancangan tersebut wanita berkenaan memberitahu keadaannya yang tidak dapat menunaikan hasrat untuk balik ke kampung halaman meskipun larangan rentas negeri sudah ditarik balik.
Menurut Alyaa, suaminya kini baru memulakan kerja setelah perniagaan putu bambu mereka sebelum ini terpaksa dihentikan sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan lebih setahun yang lepas.
Alyaa yang juga merupakan suri rumah hanya menjaga dan mengasuh empat orang anak mereka ketika suaminya pergi keluar untuk bekerja.
Kos untuk tiket penerbangan yang boleh mencecah sehingga RM3,000 untuk mereka sekeluarga pergi dan balik, menyukarkan keluarga ini.
Sejurus kemudian, Douglas bertanya kepada Alyaa sekiranya beliau tidak keberatan jika Fly FM menaja tiket penerbangan mereka sekeluarga untuk balik ke Miri.
Mendengar soalan daripada pelawak berkenaan, Alyaa ketawa besar seperti tidak percaya berkenaan tawaran yang diberikan oleh Douglas.
“Tidak, ini serius. Ini bukan lawak. Saya sudah bercakap dengan kakitangan di sini, dan mereka semua sudah bersetuju. Kami akan menghantar awak dan keluarga kembali ke Miri,” kata Douglas meyakinkan Alyaa.
“Sudah enam tahun. Saya tidak tahu bagaimana rasanya berjauhan dengan keluarga sejak sekian lama. Saya percaya ianya pasti sukar. Tetapi kami mahu awak dan keluarga awak tidak lepaskan peluang ini,” tambah Douglas.
Alyaa yang seperti tidak percaya dengan tawaran berkenaan, mengucapkan terima kasih kepada Douglas dan Fly FM.
“Terima kasih banyak, Fly FM. Anda membuat hari saya hari ini, ”kata Alyaa dalam video yang dimuat naik di akaun Instagram.
“Ikuti Telegram kami untuk mendapatkan berita terkini”