Pil keluaran Pfizer, Paxlovid merupakan langkah baharu untuk merawat jangkitan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, pil tersebut disyorkan untuk rawatan Covid-19 kepada golongan dewasa berumur 18 tahun dan ke atas yang tidak memerlukan terapi oksigen serta berisiko tinggi untuk mendapat gejala Covid-19 yang teruk.
“Anti-viral Paxlovid tidak bertujuan untuk digunakan sebagai pengganti kepada vaksinasi Covid-19 dan pengganti kepada tindakan kesihatan awam terutamanya pematuhan SOP untuk elakkan dijangkiti Covid-19,” katanya menerusi Facebook.
Menurutnya, Paxlovid mengandungi nirmatrelvir yg merencat protein SARS-CoV-2 dan menghalang virus dari membiak.
“Ritonavir pula melewatkan process pemecahan nirmatrelvir dan bantu mengekalkan kesan serta kepekatan antiviral dlm tempoh lebih lama.
“Namun, Paxlovid tidak diberikan berterusan kepada pesakit untuk lebih lima hari,” katanya.
Beliau berkata, Paxlovid akan diberikan segera selepas dikesan positif Covid-19 dan dalam tempoh masa lima hari gejala bermula untuk keberkesanan optima.
“Paxlovid diberikan secara oral 3 biji ubat (2 biji nirmatrelvir dan 1 biji ritonavir) untuk dua kali sehari selama 5 hari; jumlah keseluruhan 30 biji ubat),” katanya.