Masterchef UK baru-baru ini telah menganjurkan episod khas program masakan terkemuka tersebut sempena Tahun Baru 2022 dengan memanggil kembali beberapa pemenang mereka sebelum ini untuk bersaing menjadi juara dari kalaqngan juara.
Turut serta dalam episod itu adalah beberapa orang bekas pemenang kegemaran ramai, termasuk Ping Coombes yang juga merupakan anak kelahiran Malaysia.
Ping merupakan juara Masterchef UK pada edisi 2014 dengan hidangan Nasi Lemak dan sup wantan yang dipersembahkannya hingga berjaya menambat hati juri dalam rancangan tersebut.
Dalam episod khas kali ini, Ping memasak tiga hidangan untuk juri iaitu Chilli Pan Mee, Claypot Chicken Rice dan Ais Kacang.
Persembahan Ping kali ini sekali lagi berjaya menambat hati kesemua juri apabila Claypot Chicken Rice dan Ais Kacang beliau memberikan persona tersendiri kapada pihak juri.
Claypot Chicken Rice yang disediakan oleh Ping kali ini berbeza dengan kebiasaan menu berkenaan apabila wanita itu menggunakan ayam guinea bersama nasi yang disumbat ke dalam ayam berkenaan, selain serpihan nasi rangup di sekitar hidangan bersama limau nipis, halia dan sos cili ayam guinea.
Digandingkan dengannya ialah Ais Kacang yang diperbuat daripada ais kelapa, serbuk kacang, mousse jagung manis dan serpihan meringue berperisa mawar. Kehebatan hidangan berkenaan berjaya membuatkan pihak juri kagum dengan persembahan Ping sebelum dinobatkan sebagai juara.
Ping Coombes yang juga merupakan anak Ipoh, Perak itu kini menetap di Bath, United Kingdom.
Beliau mengusahakan sebuah restoran di sana bernama Kelab Makan Ping. Dia juga mempunyai kelas memasak sendiri dan sebuah buku masakan bernama MALAYSIA.
Tahniah Ping!