Sempena pembukaan semula Langkawi pada 16 September ini bagi aktiviti perlancongan, tidak lengkap rasanya jika tidak menyemak senarai tempat-tempat menarik di pulau peranginan itu yang boleh anda lawati tidak lama lagi.
Sebut sahaja Langkawi, pasti terbayang pengangkutan feri yang terkenal menjadi penghubung antara pulau itu dari Jeti Kuala Kedah dan Jeti Kuala Perlis, selain boleh memilih untuk memasukinya melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
Kerana namanya yang terkenal di seantero dunia, pilihan penginapan di Langkawi pula tidak perlu dirisaukan kerana senarai homestay, resort mewah atau pun hotel murah sedia menanti untuk diinap, mengikut bajet dan keselesaan pengunjung.
Tarikan pelancong di pulau ini antara lain adalah aktiviti pantai dan air, sambil berpeluang melihat pemandangan di tasik, serta boleh melakukan aktiviti lasak di bukit dan hutan.
Kesimpulannya, sama ada ingin bercuti secara solo, berpasangan, atau bersama anak-anak, Langkawi mempunyai pelbagai destinasi percutian menarik yang sesuai untuk segenap usia.
Ini tujuh tempat menarik untuk dilawati di Pulau Langkawi :
- SkyBridge Langkawi
Sebuah jambatan melengkung pejalan kaki yang terpanjang di dunia. Kehebatan jurutera yang membina jambatan ini dengan hanya menggunakan satu tiang besi sokongan memang sangat mengagumkan. Sky Bridge yang sepanjang 125 meter ini boleh anda lalui berjalan kaki untuk melihat keindahan Pulau Langkawi dari sudut yang paling menarik.
Lokasi jambatan ini yang terletak di atas puncak Bukit Machinchang iaitu titik kedua tertinggi di Pulau Langkawi, membolehkan anda melihat panorama sekeliling secara 360 darjah. Untuk ke sini, pelancong perlu menaiki SkyCab atau kereta kabel menuju ke Top Station yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan dari stesen bawah.

- Kereta Kabel Langkawi (SkyCab Langkawi)
Menaiki kereta kabel atau dikenali SkyCab ini pasti memberikan anda satu pengalaman yang berbeza berbanding kereta kabel di tempat lain. Ianya mempunyai 3 pilihan yang berbeza. Salah satu gondola yang paling membuatkan jantung berdebar adalah Bottom Glass Gondola yang berlantaikan kaca anda boleh melihat dengan jelas hutan-hutan di kaki yang pasti akan menguji tahap kegayatan anda.
Melihat keindahan hutan sekeliling dari sudut yang tinggi pasti membuatkan anda tidak mahu lepaskan peluang untuk berswafoto bersama keluarga. Perjalanan dari bawah ke puncak sejauh 4.4 km juga agak lama dan makan masa sekitar 15 minit, iaitu satu tempoh yang lebih mencukupi untuk anda sekeluarga alami pengalaman hebat sebegini.

- Pantai Cenang
Sebuah pantai di Langkawi yang strategik kerana mempunyai banyak pilihan hotel dan resort berhampiran. Lokasinya juga hanya tujuh kilometer (km) sahaja dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Pesisiran Pantai Cenang sungguh cantik dan pasirnya putih sekali. Air lautnya yang membiru pasti membuatkan anda tidak sabar-sabar untuk mandi manda atau pun selam snorkel.

Di sepanjang Pantai Cenang yang menjangkau dua km ini, terdapat banyak operator yang menawarkan aktiviti sukan air seperti main jet ski, banana boat, parasailing & sebagainya. Dari hotel-hotel di Pantai Cenang ini juga, anda boleh berjalan kaki sahaja ke beberapa tempat menarik di Pulau Langkawi yang popular seperti Underwater World, Laman Padi, Cenang Mall dan perniagaan runcit yang menjual barangan bebas cukai.
- SkyTrex Adventure Langkawi
Rasai pengalaman sendiri menerokai keindahan hutan belantara hijau di Langkawi dengan melakukan aktiviti jungle trekking dari pokok ke pokok. Jika anda seorang yang sukakan aktiviti lasak yang memerlukan daya tahan fizikal serta mental, SkyTrex Langkawi ini mesti anda cuba.
Umumnya, ada tiga jenis laluan berhalang di udara yang berbeza tahap cabarannya dan berbeza tahap kegayatannya iaitu Little Legend Adventure, Eagle Thrill & Island Extreme.

- Kota Mahsuri
Lagenda Mahsuri sudah tidak asing lagi dengan Pulau Langkawi. Kota Mahsuri merupakan destinasi dalam kategori tempat bersejarah kerana di sini terletaknya Makam Mahsuri, replika rumah tradisional, pameran visual seperti muzium, melihat diorama silam dan juga Telaga Mahsuri.
Galeri-galeri pameran visual banyak mengetengahkan barangan lama dan klasik seperti senjata, barangan perhiasan serta juga informasi berkenaan dengan Mahsuri. Kalau nak tahu, anda juga boleh melihat gambar waris keturunan Mahsuri yang masih hidup sehingga kini.

- Dataran Lang Pulau Langkawi
Percutian di Langkawi tidak akan pernah lengkap jika tidak bergambar di destinasi yang sangat simbolik dengan Pulau Langkawi ini, iaitu Dataran Lang. Pasti ramai yang tidak tahu, nama Langkawi diambil sempena dengan burung helang merah yang banyak terdapat di pulau ini. Lang mewakili burung helang dan kawi pula bermakna perang kemerahan.
Jika anda melakukan aktiviti island hopping sekitar Pulau Singa Besar atau mangrove tour di Sungai Kilim, pasti akan melewati kawasan eagle feeding. Banyak helang merah yang ‘terjun tiruk’ dari udara dan meluncur laju ke air untuk menangkap ikan, sangat menyerupai replika yang terdapat di Dataran Lang ini.

- Tasik Dayang Bunting
Untuk ke sini, perlu menaiki bot dan majoriti operator island hopping di sekitar Pekan Kuah atau di Pantai Cenang, akan singgah di Tasik Dayang Bunting ini. Kalau nak tahu, Tasik Dayang Bunting ini hanya 100 meter sahaja dari kawasan air laut. Sebaik bot berlabuh di Pulau Dayang Bunting, anda hanya perlu berjalan kaki dan mendaki anak tangga sedikit untuk sampai ke tasik ini.
Pemandangan tasik yang hijau airnya, mempunyai pantulan bukit bukau sekeliling di atas permukaan tasik & diiringi pula bunyian unggas rimba, pasti membuatkan diri anda terasa nyaman. Aktiviti di tasik ini pada dasarnya adalah mandi manda, bermain paddle bot, berkayak dan santai-santai. – Malaysiapost

“Ikuti Telegram kami untuk mendapatkan berita terkini”