Seramai 27,627 pemandu e-hailing yang belum menerima bantuan RM500 menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) akan menerima bayaran itu bermula Jumaat ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, peruntukan baki bantuan kepada pemandu layak itu telah pun disalurkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada 3 September lalu.
Katanya, APAD sedang memproses pembayaran melalui bank yang telah dilantik kerajaan iaitu Hong Leong Bank.
“Pembayaran akan dibuat secara auto-kredit ke dalam akaun bank 27,627 pemandu terlibat bermula Jumaat 10 September ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau memohon maaf atas kelewatan penyaluran bantuan berkenaan.
“Sememangnya MOT sentiasa komited dalam memastikan kebajikan pemandu e- hailing sentiasa terbela.
“Serta berharap pembayaran bantuan RM500 ini dapat membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi pemandu e- hailing dalam mendepani ujian pandemik Covid-19 ini,” katanya.
Ka Siong berkata, berdasarkan senarai dikeluarkan APAD, seramai 56,092 pemandu e-hailing telah memenuhi syarat kelayakan dan layak untuk menerima bantuan ‘one-off’ PEMERKASA berjumlah RM500.
“APAD juga telah selesai membuat pembayaran kepada 28,465 pemandu e- hailing yang layak bermula dari 26 Julai hingga 6 Ogos lalu,” katanya.
“Ikuti Telegram kami untuk mendapatkan berita terkini”